Isnin, 28 Oktober 2019 | 11:31am
ROGER Federer

Federer belum pasti ke Paris

BASEL, Switzerland: Roger Federer merangkul kejuaraan ke-103 dalam kariernya di Basel namun mengakui yang dia mungkin terlepas peluang untuk merangkul kemenangan ke-104 di Paris Masters.

Pemain berusia 38 tahun itu memenangi trofi Basel ke-10 dirinya, mengatasi pemain muda Australia Alex De Minaur 6-2, 6-2 untuk kejayaan yang digambarkan legenda Switzerland itu sebagai luar biasa di laman sendiri – di mana dia pernah bekerja sebagai pengutip bola.

Dia kini hanya kekurangan enam gelaran untuk mengatasi rekod 109 kejuaraan ATP dimenangi Jimmy Connors dari Amerika Syarikat, tetapi mungkin dia terpaksa melupakan Paris yang juga acara akhir tahunan bagi menyimpan tenaga untuk final ATP di London.

“Saya mempunyai mesyuarat pasukan untuk membincangkan bukan saja Paris, tetapi juga musim depan. Saya rasa esok saya akan tahu sama ada akan ke Paris ataupun tidak,” kata Federer yang merangkul gelaran keempat tahun ini selepas Dubai, Miami dan Halle.

“Kecergasan saya baik, saya gembira dengan apa yang saya rasa. Cuma saya tidak tahu sama ada saya patut bermain atau tidak minggu depan. Saya akan memikirkannya bersama pasukan.”

Federer kembali ke Paris Masters tahun lalu buat kali pertama sejak tahun 2015 dan mara ke separuh akhir di mana dia tewas tiga set kepada Novak Djokovic, yang hadir sebagai pilihan utama di depan Rafael Nadal untuk saingan di ibu kota Perancis itu tahun ini. – AFP

 

 

 

Berita Harian X