Isnin, 11 November 2019 | 8:49pm
Jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui. - NSTP/Aziah Azmee

Kekal fokus, jangan fikir kena 'buang'

KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui tidak mahu anak didiknya, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie memikirkan mengenai proses 'pembuangan' bakal dijalankan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hujung Disember ini.

Sebaliknya, jurulatih itu mahu kedua-dua pemain berkenaan kekal fokus dalam setiap kejohanan disertai.

Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking ke-11 dunia dikatakan antara pasangan dalam bahaya susulan prestasi hambar dalam beberapa kejohanan terakhir tahun ini sekali gus menjadi perhatian BAM bagi proses penilaian yang akan dibuat berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan.

"Saya fikir lebih baik mereka fokus terhadap prestasi mereka. Jika mereka boleh menunjukkan prestasi yang baik, itu bermakna KPI yang ditetapkan akan tercapai," kata Eei Hui kepada BH Sukan.

'Amaran' BAM itu tampak berkesan apabila Soon Huat-Shevon kini mencetuskan kebangkitan apabila berjaya mara sehingga ke separuh akhir Terbuka China di Fuzhou sebelum tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China.

"Secara keseluruhannya, mereka menunjukkan peningkatan prestasi yang baik. Soon Huat paling banyak menunjukkan peningkatan tetapi mereka bukan tandingan buat pasangan China itu...lawan mereka jauh lebih baik," kata Eei Hui.

Soon Huat-Shevon mengalihkan fokus mereka dengan aksi pada Terbuka Hong Kong yang bermula esok dan akan membuka tirai saingan menentang beregu Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek di pusingan pertama.

"Saya mahu mereka fokus satu demi satu perlawanan. Lawan mereka di pusingan pertama juga adalah lawan yang sukar ditewaskan...banyak lagi perkara yang perlu dilakukan," katanya.

Berita Harian X