Rabu, 13 November 2019 | 6:22pm
AARON Chia-Soh Wooi Yik

Aaron-Wooi Yik ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong

 

KUALA LUMPUR: Dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin cemerlang apabila mengesahkan tempat ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong selepas menewaskan lawan masing-masing hari ini.

Masih segar dengan pencapaian mara ke separuh akhir Terbuka China, minggu lalu, Aaron-Wooi Yik mengekalkan momentum itu apabila menundukkan pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Angga Pratam 21-13, 21-14 dalam aksi pusingan pertama.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu akan meneruskan misi mereka kali ini dengan bertemu beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Sementara itu, Ee Yi-Yew Sin dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Jae Hwan 17-21, 25-23, 21-16 dalam tempoh 57 minit.

Mereka dijangka berdepan tugas mencabar bagi memburu slot ke kelompok lapan terbaik apabila dijadual bertemu pilihan kelima kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, esok.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong apabila terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 12-21, 15-21.

Dua beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen turut mengalami nasib sama apabila tewas kepada lawan masing-masing.

Mei Kuan-Meng Yean tewas di tangan pilihan kelima dari Kore Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan 16-21, 21-18, 19-21 manakala Vivian-Cheng Wen tunduk kepada Hsu Ya Ching-Hu Ling Fang dari Taiwan 21-16, 15-21, 17-21.

 

 

Berita Harian X