Jumaat, 15 November 2019 | 6:53pm
PEMAIN badminton negara, Lee Zii Jia. NSTP/Owee Ah Chun.

Zii Jia terpaksa lupakan Guangzhou

KUALA LUMPUR: Pintu sudah tertutup buat pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bagi melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China bulan depan.

Pemain berusia 21 tahun yang menghuni ranking kesembilan kelayakan ke Guangzhou pada awalnya masih berpeluang melonjakkan kedudukan dalam kelompok lapan terbaik, namun ia menjadi sukar selepas dia terpaksa menarik diri daripada aksi Terbuka Hong Kong yang sedang berlangsung ketika ini akibat masalah kesihatan.

Sedar peluang untuk layak sukar, Zii Jia turut membuat keputusan menarik diri daripada saingan Terbuka Korea yang bermula Selasa ini bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina bermula 1 Disember depan.

Hanya lapan pemain terbaik dalam kedudukan ranking kelayakan layak beraksi pada kejohanan berprestij akhir musim itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.22 juta).

“Memang agak kecewa kerana saya ada peluang yang baik untuk layak ke Guangzhou sekiranya dapat beraksi di Terbuka Hong Kong namun ini adalah sesuatu yang tidak dijangka dan terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu,” kata Zii Jia.

“Disebabkan peluang untuk layak sudah semakin sukar, saya juga menarik diri daripada Terbuka Korea.

“Adalah lebih baik saya fokus kepada persiapan Sukan SEA kerana ini juga sangat penting untuk saya dan pasukan. Keputusan ini adalah hasil perbincangan antara saya dengan jurulatih.” 

Nasib malang Zii Jia bermula apabila dia gagal menamatkan permainan ketika berdepan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada pusingan kedua Terbuka China di Fuzhou, dua minggu lalu.

Dia ketika itu dilaporkan demam dan keracunan makanan.

Zii Jia hanya sempat menghabiskan perlawanan set pertama yang menyaksikan dia tewas 9-21 sebelum menarik diri di set kedua ketika ketinggalan 3-11.

“Sebaik pulang saya menjalani pemeriksaan dengan ISN (Institut Sukan Negara) Isnin lalu dan doktor mengesahkan semuanya sudah kembali normal. Saya sudah menjalani latihan ringan bermula Selasa dan hari ini sudah dapat buat latihan penuh,” katanya.

Berita Harian X