Jumaat, 15 November 2019 | 9:34pm
CHEAM June Wei

June Wei mara separuh akhir badminton antarabangsa

KANGAR: Pemain perseorangan negara, Cheam June Wei membuat kejutan apabila menewaskan pemain China, Zhou Ze Qi untuk mara ke separuh akhir kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 di sini, hari ini.

June Wei menundukkan pilihan kedua kejohanan itu 21-15, 16-21, 21-16 pada aksi suku akhir.

Ketua jurulatih lelaki negara, Datuk Misbun Sidek ketika ditemui memuji aksi ditunjukkan anak buahnya itu yang tidak gugup meskipun tewas pada set kedua.

“Dia bijak mengatur langkah pada set ketiga dengan menyerap serangan pihak lawan,” katanya.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang gagal menempah tiket ke separuh akhir.

Pilihan utama kejohanan itu tunduk kepada pasangan Jepun, Hiromi Midorikawa-Natsu Saito, 19-21, 12-21.

Pang Ron ketika ditemui menzahirkan kekecewaan dengan kekalahan itu kerana meletakkan harapan untuk memenangi kejohanan berkenaan.

"Beregu yang kami lawan hari ini pernah kami hadapi sebelum ini. Pernah menang dan pernah juga kalah,” katanya sambil menambah beliau dan Yee See akan menguatkan semangat dan berusaha lebih keras untuk mengharumkan nama negara pada masa depan.

Pasangan itu akan menyertai kejohanan antarabangsa di Mumbai, India minggu depan.

-- BERNAMA

Berita Harian X