Rabu, 20 November 2019 | 1:10pm
Reaksi Rafael Nadal selepas menewaskan pemain Russia, Karen Khachanov pada saingan Piala Davis di Madrid. - Foto Reuters

Nadal hidupkan peluang Sepanyol

MADRID: Rafael Nadal terus menghidupkan peluang buat Sepanyol dalam perlawanan pembukaan Piala Davis menentang Russia dengan memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk menewaskan Karen Khachanov dalam straight set.

Nadal yang menamatkan tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia menewaskan Khachanov 6-3, 7-6 (9/7) dan menyamakan kedudukan di dalam Kumpulan B di Madrid.

Sepanyol ketinggalan selepas Roberto Bautista tewas 3-6, 6-3, 7-6 (7/0) kepada Andrey Rublev. Russia yang menewaskan Croatia Isnin lalu akan layak ke pusingan suku akhir jika menang satu lagi saingan.

Aksi Karen Khachanov ketika membalas pukulan Rafael Nadal. - Foto AFP

Format baharu tahun ini bermakna Piala Davis akan berlangsung di satu tempat sepanjang satu minggu dengan penganjur - antara mereka adalah pemain bola sepak Barcelona Gerard Pique - berharap jadual yang lebih padat akan memulihkan trofi berprestij itu.

“Persekitaran yang menakjubkan,” kata Nadal ketika disoal mengenai kejayaan setakat ini, sambil menambah: Amat sukar untuk memberi jawapan hari ini. Biar saya tunggu sehingga tamat kejohanan untuk pandangan lebih jelas.

“Pandangan saya apa yang negatif adalah kami baru memulakan perlawanan terakhir dan ia pada jam 12.45 pagi. Ini bermakna ia masalah besar untuk kami sebagai pemain dan juga kepada orang ramai yang datang ke stadium juga kerana keesokannya adalah hari bekerja. Ia menjadikan segala-galanya sukar. – AFP

Berita Harian X