Jumaat, 29 November 2019 | 6:37pm
PENGARAH Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Beregu lelaki sandaran emas negara

MANILA: Sandaran bagi memenangi satu pingat emas Sukan SEA 2019 yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan dipikul acara beregu lelaki.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata atas kertas peluang beregu lelaki yang diwakili Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk meraih emas adalah lebih tinggi.

Bagaimanapun, Choong Hann tidak menolak kemampuan wakil negara yang lain terutama perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk menyumbangkan emas kepada skuad negara.

“Kalau kita tengok atas kertas, kita meletakkan sandaran kepada beregu lelaki (untuk menang emas). Namun, beregu campuran menerusi Soon Huat-Shevon juga ada peluang.

“Zii Jia juga ada peluang. Jadi bagi kita mereka semua sedar setiap orang ada peluang dan sedar dengan tanggungjawab masing-masing.

“Pemain perlu sentiasa memberikan sokongan antara satu sama lain. Bukan kita mahu kata hanya beregu lelaki yang ada peluang,” kata Choong Hann ketika ditemui sebaik tiba di Manila, hari ini.

Ini adalah penampilan pertama buat naib juara Seluruh England 2019, Aaron-Wooi Yok di pentas Sukan SEA manakala Ee Yi-Yew Sin meraih perak pada edisi tahun lalu.

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad badminton keseluruhannya meraih satu emas, lima perak dan dua gangsa.

Emas disumbangkan perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang tidak bersama pasukan kali ini kerana masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian ususnya, Oktober lalu.

Skuad lelaki negara akan membuka tirai saingan menerusi acara berpasukan menentang tuan rumah, Filipina, Ahad ini dan jika menang Myanmar atau Singapura menanti di peringkat separuh akhir.

Bagi saingan berpasukan wanita pula, skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Kemboja dan jika menang akan bertemu juara bertahan, Thailand.

Senarai acara, pingat ditawar dan sasaran kontinjen Malaysia.

Berita Harian X