Ahad, 1 Disember 2019 | 6:58pm
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann. - Arkib NSTP

Choong Hann waspada ancaman Singapura

MANILA: Walaupun diletakkan sebagai pilihan, skuad badminton lelaki negara tetap berwaspada dengan ancaman negara jiran, Singapura apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi separuh akhir berpasukan Sukan SEA 2019, esok.

Terdahulu, skuad negara menepati ramalan apabila mara ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan Filipina 3-0 dalam aksi suku akhir di Kompleks Sukan Muntinlupa di sini, hari ini.

Pada aksi bertemu Filipina, skuad negara tidak berani mengambil risiko apabila menurunkan barisan terkuat diketuai pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata keputusan menurunkan semua pemain utama negara adalah bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dengan lebih cepat.

“Kami mahu pemain menemui rentak permainan dengan cepat. Kami mahu pemain utama kami melakukan persiapan terbaik sebelum bertemu lawan yang lebih sukar,” kata Choong Hann selepas tamat perlawanan.

Choong Hann menuntut barisan pemain negara untuk kekal fokus pada pertemuan dengan Singapura bagi merealisasikan misi sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian ke final dua tahun lalu pada temasya kali ini.

Zii Jia menyumbang mata pertama skuad negara selepas menewaskan Ros Leenard Pedrosa 21-12, 21-8, manakala beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menumbangkan Peter Gabriel Magnaye-Alvin Nitura Morada 21-17, 21-14.

Perseorangan lelaki kedua negara, Soong Joo Ven melengkapkan kemenangan buat pasukan apabila menyumbang mata ketiga dengan menewaskan Lanz Ralf Uy Zafra 21-15, 21-17.

Berita Harian X