Selasa, 3 Disember 2019 | 8:12pm
Rachel Arnold (kiri) dan Addeen Idrakie menunjukkan pingat emas masing-masing selepas memenangi final skuasy perseorangan wanita dan lelaki pada Sukan SEA 2019 di Marine Polo Club hari ini. - Foto BERNAMA

Gelanggang skuasy hadirkan 2 emas

MANILA: Pemain skuasy wanita, Rachel Arnold menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila berjaya memenangi pingat emas acara perseorangan wanita Sukan SEA 2019.

Kejayaan itu hadir selepas Rachel menewaskan rakan senegara, Chan Yiwen 11-9, 11-7, 11-3 dalam aksi final di Kelab Polo Manila, hari ini.

Edisi 2017 di Kuala Lumpur menyaksikan Rachel terpaksa berpuas hati dengan perak apabila tewas di tangan rakan senegara, S Sivasangari di pentas final.

“Saya memang mempunyai keyakinan tinggi untuk turun dalam perlawanan hari ini. Saya fikir prestasi saya konsisten cuma ada ketika bergelut sedikit apabila melakukan beberapa kesilapan berturut-turut.

“Namun, saya gembira dapat kekal tenang dan menyumbang emas buat Malaysia, hari ini,” kata Rachel selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, seorang lagi pemain skuasy negara, Addeen Idrakie turut memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di Kelab Polo Manila apabila dia turut memenangi emas acara perseorangan lelaki.

Idrakie tampil dengan prestasi cemerlang apabila apabila menumbangkan pemain tuan rumah, Robert Garcia 11-7, 3-11, 11-9, 11-5 dalam aksi final.

Kejayaan itu menyaksikan dia meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara perseorangan lelaki Sukan SEA selepas Ng Eain Yow meraih emas pada edisi 2017.

Berita Harian X