Jumaat, 6 Disember 2019 | 8:32pm
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan terlalu yakin. - NSTP/Osman Adnan

Aaron-Wooi Yik enggan terlalu yakin

MANILA: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan terlalu yakin ketika mereka dilihat berada di landasan terbaik bagi memenangi pingat emas Sukan SEA 2019 bagi saingan individu.

Sebaliknya, pasangan ranking ke-12 dunia itu tetap waspada terutama dengan kebangkitan yang mungkin dicetuskan pencabar utama mereka, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto dari Indonesia.

Aaron-Wooi Yik mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga pertemuan sebelum ini ke atas lawan berkenaan apabila menewaskan mereka ketika final acara berpasukan, kelmarin namun Malaysia tewas 1-3 di tangan Indonesia.

Jika semua berjalan lancar, kedua-dua pasangan itu akan membuat perhitungan pada aksi final, Isnin ini.

"Sudah pasti kemenangan ke atas mereka ketika final acara berpasukan itu meningkatkan lagi tahap keyakinan kami. Memang harapan kami untuk mendapatkan emas buat Malaysia.

"Namun, kami tidak mahu terlalu fikirkan sangat kerana bimbang ia boleh mendatangkan tekanan kepada kami. Jadi, lebih baik kami fokus satu demi satu perlawanan.

"Mereka tetap pencabar utama kami dan apa jua boleh berlaku, kami perlu kekal fokus," kata Aaron yang menyaksikan dia dan Wooi Yik akan terus berlepas ke Guangzhou, China bagi menyertai Jelajah Dunia Akhir BWF Selasa ini.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Kemboja, Leng Sopheaktra-Saom Dyna 21-9, 21-5 dalam aksi pusingan pertama di Kompleks Sukan Muntinlupa di sini, hari ini.

Mereka akan bertemu sama ada pasangan Singapura, Terry Hee-Ade Yusuf Santoso, esok.

Satu lagi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut ke suku akhir selepas menang ke atas pasangan Kemboja, Cheng Phorrom-Sieng Kimhong 21-10, 21-10 dan akan bertemu Peter Gabriel Magnaye-Alvin Morada dari Filipina.

Berita Harian X