Sabtu, 4 Januari 2020 | 6:19pm
Aifa (kiri) dan Aira Azman.

Aifa dan Aira Azman cemerlang di Birmingham

KUALA LUMPUR: Juara Skuasy Terbuka Remaja British tiga kali, Aifa Azman meneruskan persembahan cemerlangnya apabila berjaya mara ke suku akhir kejohanan itu di Birmingham, England awal pagi tadi.

Aifa, pemain nombor 61 dunia, menewaskan pemain pilihan ke-9/16, Evie Coxon dari England dengan 11-8, 11-3 dan 11-4 pada perlawanan pusingan ketiga kategori Bawah 19 (B-19) wanita di gelanggang kaca University Birmingham, demikian menurut laman web kejohanan https://britishjunioropen.com.

Pemain berusia 18 tahun dari Kedah itu sebelum ini menyapu bersih gelaran juara B-13 pada 2014, B-15 pada 2016 dan B-17 pada 2018.

Turut mara ke suku akhir itu ialah adiknya, Aira yang mengetepikan pilihan ke-9/16 Lucie Stefanoni dari Amerika Syarikat; 11-7, 11-5 dan 11-9 dalam kategori B-17.

Kejohanan yang bermula sejak Rabu, berlangsung di empat venue iaitu Edgbaston Priory Club, University of Birmingham Sport & Fitness club, Solihull Arden Club dan West Warwickshire Sports Complex.

Keputusan:

WANITA:

Pusingan Kedua: B-11: Harleein Tan mn Hana Elmahdy (MES) 11-8, 11-6, 7-11, 11-5; Layla Gupta (AS) mn Jadishkumar Shirijah 11-6, 11-3, 11-4

Pusingan Ketiga: B-13: Barb Sameh (MES) mn Whitney Wilson 12-10, 11-1, 6-11, 13-11; Lauren Baltayan (PER) mn Doyce Lee Ye San 11-7, 11-7, 14-12

B-15: Sehveetrraa Kumar mn Alyx Kelleher (WAL) 11-6, 11-9, 11-3; Caroline Fouts (AS) mn Anrie Goh 11-6, 11-3, 11-8; Caroline Eielson (AS) mn Goh Zhi Xuan 11-4, 11-2, 11-7

B-17: Aira Azman mn Lucie Stefanoni (AS) 11-7, 11-5, 11-9; Yee Xin Ying mn Asia Harris (ENG) 11-5, 11-7, 11-2

B-19: Ainaa Ampandi mn Haya Mohamed Ali (MES) 12-10, 11-7, 12-10; Aifa Azman mn Evie Coxon (ENG) 11-8, 11-3, 11-4 - Bernama

Berita Harian X