Isnin, 13 Januari 2020 | 10:14pm
Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan semua kakitangan pasukan kecemasan atas tindakan pantas mereka.

BWF hargai bantuan selamatkan Momota

KUALA LUMPUR: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bersyukur kerana pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota dan rakan penumpang yang lain selamat dan dalam keadaan stabil, selepas terlibat dalam nahas jalan raya, awal pagi tadi.

BWF turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pemandu van, B. Nageswarau, 24.

Nageswarau terbunuh ketika dalam perjalanan menghantar Momota dan tiga yang lain ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, selepas van yang dipandunya melanggar sebuah lori yang bergerak perlahan di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan semua kakitangan pasukan kecemasan atas tindakan pantas mereka.

“Syukurlah, Momota, dua anggota sokongan pasukan Jepun dan seorang operator sistem ‘Hawkeye’ dalam keadaan selamat dan stabil.

“Keselamatan dan kebajikan mereka merupakan perhatian utama kami dan saya telah pastikan apa yang boleh dilakukan untuk membantu mereka telah dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah beliau, seorang pengurus BWF berada di Hospital Putrajaya sepanjang pagi tadi di mana Momota dan yang lainnya dimasukkan, bagi memberikan bantuan.

Momota mengalami luka di beberapa bahagian muka termasuk di sinus maksila dan patah tulang hidung.

Sementara pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35, (luka pada tulang kering sebelah kanan); pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42, (konkusi otak dan fraktur tertutup) dan William Thomas, 30, seorang operator sistem Hawkeye (luka di kepala dan bahagian bawah kaki).

Momota dalam perjalanan pulang ke Jepun selepas memenangi gelaran pertamanya di Masters Malaysia di Arena Axiata di sini semalam. Beliau mengalahkan bekas juara dunia Viktor Axelsen dari Demark pada perlawanan akhir.

Momota sepatutnya bermain di Masters Indonesia yang dijadualkan bermula esok hingga Ahad di Istora Senayan, Jakarta, namun menarik diri atas alasan kesihatan. - BERNAMA

Berita Harian X