Selasa, 14 Januari 2020 | 9:00pm
Kento Momota. - Foto Eizairi Shamsudin

Momota pulang ke Jepun esok

PUTRAJAYA: Pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota yang mengalami kemalangan jalanraya baru-baru ini dijadual dibenarkan pulang ke Jepun bersama dua pegawai sokongannya, esok.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Jepun, Kinji Zeniya memberitahu Momota tidak akan menyertai Kejohanan Berpasukan Asia bulan depan dan dijadual kembali ke gelanggang untuk persiapan di kejohanan Seluruh England di Birmingham, 11 Mac ini.

Momota, 25, sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bersama tiga lagi penumpang awal pagi Isnin lalu sebelum van dinaiki bertembung dengan sebuah lori yang mengorbankan pemandu van.

Van berkenaan membawa Momota, jurulatih Jepun, Yu Hirayama, pelatih Jepun, Akifumi Morimoto dan penasihat teknikal Persekutuan Badminton Dunia, William Thomas.

Insiden tragik itu berlaku hanya beberapa jam selepas Momota merangkul gelaran Perseorangan Lelaki Masters Malaysia.

"Saya panik seketika apabila mendengar berita itu," kata Zeniya.

"Sukan Olimpik Tokyo amat penting tetapi saya bersyukur tidak seorang pun daripada tiga individu ini mengalami kecederaan yang mengancam nyawa," katanya.

Momota yang terlepas temasya Olimpik Rio de Janeiro 2016 kerana digantung susulan skandal judi, meraih 11 kemenangan di peringkat antrabangsa tahun lalu dan menjadi prospek utama bagi kilauan emas dalam acara perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Tokyo tahun ini. - Agensi

Berita Harian X