Jumaat, 17 Januari 2020 | 8:17pm
Pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Aaron-Wooi Yik pertahan maruah BAM

KUALA LUMPUR: Reputasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai beregu lelaki nombor satu negara nyaris tercalar sebelum mereka mengatasi rakan senegara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk mara ke separuh akhir Masters Indonesia, hari ini.

Pada pertembungan yang diibaratkan 'menjaga air muka' Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu selepas Ee Yi-Yew Sin digugurkan daripada skuad kebangsaan, dua minggu lalu, pasangan utama negara berkenaan terpaksa bermandi peluh sebelum mencatat kenangan 28-26, 21-19 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 40 minit.

"Saya fikir kami agak terburu-buru dalam perlawanan hari ini terutamanya ketika set pertama. Namun, kamu cuba untuk bertenang dan lebih bersabar selepas itu," kata Aaron kepada BH Sukan.

Bagaimanapun, laluan berliku bakal ditempuhi Aaron-Wooi Yik apabila mereka dijadual menentang pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon bagi perebutan tempat ke pentas final, esok.

Ini adalah pertembungan kedua-dua berturut-turut buat kedua-dua pasangan berkeaan dalam tempoh dua minggu selepas mereka bertemu pada pusingan kedua Masters Malaysia minggu lalu yang menyaksikan Kevin-Marcus menang buat kali keempat berturut-turut.

Terdahulu, Kevin-Marcus mara selepas mengatasi satu lagi beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei 21-13, 23-21.

Sementara itu, beregu campuran negara, Tan Kin Meng-Lai Pei Jing turut mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won 21-7, 21-18.

Seperti Aaron-Wooi Yik, skrip sama turut menimpa Kian Meng-Pei Jing apabila perlu berdepan pasangan nombor satu dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dalam misi memburu slot ke pentas final.

Pasangan China itu mara selepas menundukkan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-15, 21-13.

"Perlawanan hari ini berjalan dengan baik dan lawan kami melakukan banyak kesilapan. Kami hanya kekal fokus bagi mengutip mata. Kami akan berdepan lawan yang sukar pada separuh akhir dan kami perlu tampil corak permainan yang lebih konsisten," kata Pei Jing.

Berita Harian X