Rabu, 22 Januari 2020 | 7:36pm
Pemain perseorangan badminton lelaki, Lee Zii Jia melangkah ke pusingan kedua Masters Thailand. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Pemain perseorangan badminton lelaki, Lee Zii Jia melangkah ke pusingan kedua Masters Thailand. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Zii Jia ke pusingan kedua Masters Thailand

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan badminton lelaki, Lee Zii Jia melangkah ke pusingan kedua Masters Thailand selepas menewaskan lawannya di pusingan pertama, Sameer Verma dari India dengan keputusan 21-16, 21-15 hari ini. 

Keputusan itu secara tidak langsung menjadikan rekod pertemuan mereka memihak kepada Zii Jia dengan 4-1 dengan kali terakhir pemain berusia 21 tahun itu menewaskan pesaingnya itu di Masters Malaysia, 21-19, 22-20 dua minggu lalu. 

Zii Jia dijadual bertemu Heo Kwang Hee di pusingan kedua esok selepas pemain Korea Selatan itu menewaskan lawannya dari Israel, Misha Zilberman, 21-6, 21-19.

Untuk rekod, Zii Jia yang berada di ranking ke-13 dunia dan pilihan ketujuh kejohanan sama sekali tidak pernah berada dalam satu gelanggang bersama Kwang Hee sebelum ini. 

Sementara itu, perseorangan profesional negara, Liew Daren dipaksa bekerja keras oleh lawannya dari India, H S Prannoy sebelum melakar kemenangan 21-17, 20-22, 21-19 dalam tempoh 1 jam lapan minit.

Daren yang berada di ranking ke-41 dijadual bertemu pilihan kedua kejohanan dari China, Shi Yu Qi yang pada pertemuan terakhir di Terbuka England tahun lalu menyaksikan kemenangan berpihak kepada Yu Qi dengan keputusan 21-8, 21-10.

Dalam perkembangan lain, beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengatasi pasangan Denmark, Mathias Bay-Smidt-Rikke Soby 21-19, 21-17 dalam tempoh 40 minit. 

Kian Meng-Pei Jing dijadual bertemu beregu Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Serena Kani yang menewaskan wakil Russia, Evgenij Dremin-Evgenia Dimova, 21-18, 21-19.

Berita Harian X