Khamis, 23 Januari 2020 | 5:57pm
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. NSTP/Syarafiq Abd Samad
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. NSTP/Syarafiq Abd Samad

Kian Meng-Pei Jing fokus aksi suku akhir

 

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mahu mengekalkan fokus bagi mengharungi saingan seterusnya di Masters Thailand selepas meraih keputusan positif di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, hari ini. 

Kian Meng-Pei Jing yang juga pilihan kelapan kejohanan melangkah ke pusingan suku akhir esok selepas menewaskan beregu muda dari Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Serena Kani 21-15, 21-13 dalam tempoh 36 minit.

Mereka dijadual bertemu Niclas Nohr-Sara Thygesen selepas pasangan Denmark itu menewaskan lawan dari Jepun, Kyohei Yamashita-Naru Shinoya, 24-22, 23-21 dalam tempoh 44 minit.

Ini adalah pertemuan kali keempat buat kedua-dua beregu ini selepas pertembungan terakhir dimenangi Kian Meng-Pei Jing 22-20, 21-18 di Terbuka China, pada September 2018.

"Kami kena terus fokus dan bersiap sedia sebelum memasuki gelanggang," kata Pei Jing. "Kami juga perlu berehat sebaiknya. Keadaan fizikal yang bagus tentunya membolehkan kami untuk bermain dengan lebih baik nanti."

Mengulas mengenai permainan menentang beregu Indonesia itu, Pei Jing berkata: "Untuk perlawanan tadi, lawan kami sebenarnya masih muda, masih junior. Mereka juga kurang menyertai kejohanan besar seperti ini. 

"Bagi saya, mereka sedikit kurang daripada sudut pengalaman. Jadi secara keseluruhannya, perlawanan tadi berlangsung dengan lancar dan semua pergerakan menjadi dan kami kurang melakukan kesilapan mudah."

Sementara itu, pasangan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tewas di tangan pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan, 21-19, 19-21, 21-16.

 

 

Berita Harian X