Sabtu, 15 Februari 2020 | 3:25pm
PERSEORANGAN perempuan Malaysia, S Kisona. NSTP/Osman Adnan

Jepun sekat hajat skuad badminton wanita negara

Oleh Helmi Talkah 

[email protected]

KUALA LUMPUR: Perjalanan epik skuad badminton wanita negara pada Kejohanan Berpasukan Asia berakhir selepas tewas 3-0 di tangan Jepun dalam aksi separuh akhir di Kompleks Sukan Rizal Memorial Manila, Filipina, sebentar tadi.

Barisan pemain negara tidak dapat meneruskan momentum kecemerlangan yang ditunjukkan sebelum ini termasuk mengesahkan slot secara merit ke pusingan akhir Piala Uber 2020 di Denmark, Mei depan susulan kejayaan mara ke separuh akhir.

Pemain perseorangan wanita pertama negara, Soniia Cheah tidak berupaya mengulangi kejutan yang dilakukan ketika menentang pemain nombor tiga dunia, Akane Yamaguchi pada saingan peringkat kumpulan apabila tewas 21-17, 21-18.

Gandingan pecahan, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen yang diturunkan menggalas tugas selaku beregu pertama turut kempunan menyumbang mata selepas ditundukkan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-11, 21-4.

Pemain perseorangan kedua, S Kisona yang diharapkan mampu menghidupkan semula perjuangan skuad wanita, juga terpaksa akur apabila tewas di tangan Sayaka Takahashi 21-13, 21-13.

Ketika aksi peringkat kumpulan, skuad wanita berjaya memberi tentangan sengit sebelum tewas 3-2 di tangan Jepun yang menyaksikan Soniia dan Kisona menjadi penyumbang mata buat pasukan.

Apa pun, kejayaan mara ke separuh akhir buat kali pertama dan layak secara merit ke Piala Uber boleh dianggap pencapaian membanggakan buat pemain wanita negara ketika tiada sebarang harapan diletakkan kepada mereka untuk melangkah jauh.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X