Ahad, 16 Februari 2020 | 7:46pm
- Gambar Twitter BAM
- Gambar Twitter BAM

Malaysia gagal sekat Indonesia

KUALA LUMPUR: Skuad badminton lelaki negara berjaya membuatkan Indonesia cemas seketika sebelum tewas 1-3 dalam aksi final Kejohanan Berpasukan Asia di Kompleks Sukan Rizal Memorial di Manila, Filipina, sebentar tadi.

Aksi perseorangan kedua, Cheam June Wei mencuri tumpuan apabila berjaya mencuri satu mata buat skuad negara selepas ketinggalan 0-2 susulan kekalahan Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Turun sebagai perseorangan pertama, Zii Jia terpaksa akur apabila tewas di tangan Anthony Sinisuka Ginting 20-22, 16-21 manakala Aaron-Wooi Yik tunduk kepada gandingan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 20-22, 16-21.

Bagaimanapun, June Wei yang berada di kedudukan ke-72 dunia mempamerkan prestasi luar biasa apabila dia melakar kejutan menewaskan pemain nombor tujuh dunia, Jonatan Christie 21-16, 17-21, 24-22 sekali gus menghidupkan kembali peluang Malaysia.

Bagaimanapun, harapan untuk melihat beregu kedua negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada Muhammad Ahsan-Fajar Alfian 18-21, 17-21.

Kemenangan menyaksikan Indonesia merekodkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut selepas turut muncul juara pada edisi 2018 di Alor Setar, Kedah.

Malaysia pula kali pertama layak ke final sejak kejohanan diperkenalkan pada 2016 dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah meraih gangsa pada 2018.

Pemain negara, Cheam June Wei June Wei yang berada di kedudukan ke-72 dunia mempamerkan prestasi luar biasa apabila dia melakar kejutan menewaskan pemain nombor tujuh dunia, Jonatan Christie 21-16, 17-21, 24-22 sekali gus menghidupkan kembali peluang Malaysia. - Foto Abdullah Yusof
Pemain negara, Cheam June Wei June Wei yang berada di kedudukan ke-72 dunia mempamerkan prestasi luar biasa apabila dia melakar kejutan menewaskan pemain nombor tujuh dunia, Jonatan Christie 21-16, 17-21, 24-22 sekali gus menghidupkan kembali peluang Malaysia. - Foto Abdullah Yusof

Berita Harian X