Rabu, 19 Februari 2020 | 5:14pm
Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Zii Jia boleh 'korek' rahsia June Wei

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia mungkin boleh 'mengorek' rahsia daripada rakan sepasukan, Cheam June Wei bagaimana menewaskan pemain nombor enam dunia, Jonatan Christie dari Indonesia.

Zii Jia yang berada di kedudukan ke-14 dunia diundi bertemu Jonatan pada pusingan pertama Seluruh England yang akan berlangsung di Birmingham bermula 11 hingga 15 Mac ini.

Ironinya, ketika Zii Jia sudah empat kali tewas di tangan Jonatan sebelum ini, June Wei yang berada di tangga ke-72 dunia sudah pun menumbangkan jaguh Indonesia itu yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2018.

June Wei mencipta kemenangan sensasi ke atas Jonatan ketika bertemu pemain itu pada final Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina yang menyaksikan Malaysia tewas 1-3, Ahad lalu.

Dia membuktikan kedudukan ranking yang rendah bukan penghalang menampilkan prestasi terbaik sepanjang kejohanan yang berlangsung di Manila itu.

June Wei sebelum itu turut mempamerkan watak ‘sang pejuang’ apabila menumbangkan dua jaguh dunia iaitu bekas pemain nombor satu dunia dari Korea Selatan, Son Wan Ho (suku akhir) selain pemain Jepun, Kenta Nishimoto (separuh akhir).

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, berpendapat Zii Jia boleh memanfaatkan rakaman aksi perlawanan membabitkan June Wei dengan Jonatan bagi mengenal pasti kelemahan lawan dari Indonesia itu.

"Selain bertanya dengan June Wei, saya fikir lebih baik sekiranya dia melakukan analisis rakaman perlawanan antara June Wei dengan Jonatan sambil dibantu jurulatihnya, Hendrawan.

"Cara itu lebih berkesan. Hendrawan perlu tunjuk kepada Zii Jia apa kelemahan dan kekuatan dimiliki Jonatan.

"Daripada situ nanti ia akan menjadi lebih mudah untuk Hendrawan merangka strategi terbaik buat Zii Jia berdepan pemain Indonesia berkenaan," kata James kepada BH Sukan.

James, berkata bukan sesuatu yang mustahil untuk Zii Jia menewaskan Jonatan ketika June Wei sudah pun membuktikannya sebelum ini.

Zii Jia sebelum ini tewas ke semua empat perlawanan di tangan Jonatan Masters Malaysia 2018, Piala Thomas 2018, Terbuka Switzerland 2019 dan Terbuka Singapura 2019.

Berita Harian X