Sabtu, 14 March 2020 | 12:39pm
Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Zii Jia perlu tenang, fokus bertemu Axelsen

SITIAWAN: Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek mengingatkan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia  agar kekal tenang dan fokus pada pertemuan dengan bekas juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark pada aksi separuh akhir Seluruh England yang dijadual berlangsung, petang ini.

"Viktor pernah menjadi juara dunia manakala pemain kita, Zii Jia baru nak naik. Apa pun, Zii Jia perlu lebih tenang dan lebih fokus untuk mencabar serta bersaing ketika bertemu Viktor.

"Untuk mengatasi Viktor, Zii Jia perlu bermain secara bijak..main sahaja nanti benda (strategi perlawanan) kembang sendiri," kata Misbun ketika ditemui pada Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Manjung anjuran pemaju Bandar Baru Setia Awan Perdana, Taraf Nusantara Sdn Bhd di Arena Badminton Manjung Lekir, Sitiawan hari ini. 

Kejohanan itu disertai 250 kanak-kanak dan remaja berusia sembilan hingga 15 tahun dari seluruh Perak yang boleh menjadi landasan mencungkil bakat baharu dan berpotensi untuk diketengahkan.

Misbun yang juga bekas ketua jurulatih perseorangan lelaki negara berkata, beliau yakin Zii Jia mempunyai peluang menewaskan Axelsen jika mampu mengekalkan prestasi dan momentum seperti yang dipamerkan dalam perlawanan sebelum ini. 

Menurutnya, pencapaian pemain berusia 21 tahun itu mara ke separuh akhir juga sangat membanggakan selepas tidak dapat beraksi pada kejohanan sama tahun lalu.

“Dia tidak bertanding dan tidak mendapat slot untuk bermain tahun lalu disebabkan ranking dia. Jadi dia tidak dapat masuk pertandingan kecuali terdapat penarikan diri oleh pemain lain namun tiada pemain menarik diri pada masa itu.

“Tahun ini apabila dia dapat peluang bermain di Seluruh England, saya lihat dia lebih bersemangat dan corak permainan dia juga sudah matang. Harap dia boleh berjaya (mara ke final),” katanya.

Terdahulu, Zii Jia mara ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan juara Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China 21-12, 12-18 manakala Axelsen yang turun selaku pilihan kedua mengatasi seorang lagi pemain China, Shi Yuqi 21-15, 21-17 dalam aksi suku akhir.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara Seluruh England dalam acara perseorangan lelaki adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2017.

Berita berkaitan:

  • Zii Jia bertemu Axelsen, Aaron-Wooi Yik tersingkir
  • Zii Jia benam juara Olimpik
  • Berita Harian X