Khamis, 14 Mei 2020 | 11:36pm
PENGARAH Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann
PENGARAH Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann

BAM sudah ada calon profesional ke Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah mempunyai calon dalam kalangan pemain profesional yang akan dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark bermula 3 hingga 11 Oktober ini.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata antara kriteria utama yang dinilai adalah pemain masih beraksi secara kompetitif di peringkat tertinggi.

"Seperti yang diberitahu oleh Presiden BAM (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria), objektif kita pada Piala Thomas adalah untuk menghasilkan keputusan yang terbaik. Kita perlu mempunyai pasukan yang mampu menyaingi sekurang-kurangnya kelompok enam pasukan terbaik dunia.

"Dengan sasaran yang kami letakkan ini, sudah pasti kami mahu mencari pemain yang berkualiti, boleh bermain dengan baik, mempunyai ramuan untuk melakukan kejutan dan mampu menyumbang mata kemenangan kepada pasukan," kata Choong Hann kepada BH Sukan.

Norza dalam kenyataan yang dikeluarkan, minggu lalu, berkata BAM akan menjemput pemain profesional yang layak untuk menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas bermula pertengahan Julai ini.

Antara pemain yang berada dalam radar badan induk itu adalah pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki Kejohanan Dunia 2018, Liew Daren.

Selain itu, pemenang perak beregu lelaki Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut berada dalam senarai yang dipertimbangkan selain Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

"Sebab utama kami mahu memanggil pemain profesional menyertai latihan lebih awal adalah kerana kami mahu menilai prestasi mereka dan membuat pemilihan yang terbaik bagi mewakili negara," kata Choong Hann.

Berita Harian X