Isnin, 18 Mei 2020 | 3:11pm
Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP
Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP

Zii Jia tak sabar 'gali' ilmu Seu Bock

KUALA LUMPUR: Jaguh negara, Lee Zii Jia mengakui teruja untuk menimba ilmu daripada Datuk Tey Seu Bock selepas jurulatih itu kembali diberi peranan membimbing perseorangan lelaki negara.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam mengumumkan penstrukturan semula barisan kejurulatihan yang menyaksikan Seu Bock kembali disatukan dengan Hendrawan bagi melatih pemain perseorangan lelaki.

Bagi Zii Jia, 22, peluang berlatih di bawah Seu Bock sudah pastinya sesuatu yang berharga berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki jurulatih berkenaan terutama ketika membimbing bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Seu Bock (kiri) pernah melatih Chong Wei sebelum ini.
Seu Bock (kiri) pernah melatih Chong Wei sebelum ini.

"Saya tidak pernah berlatih dengan jurulatih Seu Bock sebelum ini. Namun, kalau kita lihat sebelum ini dia dan Hendrawan pernah melatih Chong Wei dan sudah pasti gandingan mereka mempunyai pengalaman yang luas.

"Jadi, saya tidak sabar mula berlatih dengan Seu Bock dan diharapkan saya dapat belajar banyak perkara dengan dia. Saya percaya prestasi saya akan meningkatkan di bawah bimbingan kedua-dua jurulatih berkenaan," kata Zii Jia kepada BH Sukan.

Kombinasi Hendrawan dan Seu Bock sebelum ini sudah terbukti mampu menghasilkan keputusan positif apabila membantu Chong Wei memenangi pingat perak pada Olimpik Rio 2016.

Malah, Seu Bock sendiri sebelum diberi peranan sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita pada 2017 turut menjadi watak penting membantu Chong Wei meraih perak pada Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata salah satu faktor utama terhadap keputusan menggandingkan semula kedua-dua jurulatih berkenaan adalah bagi membantu Zii Jia mempersiapkan diri menghadapi Sukan Olimpik Tokyo.

"Datuk Seu Bock bukanlah asing bagi acara perseorangan lelaki. Kami percaya pengalaman yang dimilikinya mampu melahirkan kumpulan pemain yang lebih ramai bagi menyerlah di pentas antarabangsa kerana kami tidak mahu hanya bergantung kepada Zii Jia," katanya.

Berita Harian X