Rabu, 20 Mei 2020 | 6:44pm
Senarai tertinggi dalam kem kejurulatihan remaja kini dikendalikan oleh Datuk Misbun Sidek yang memegang jawatan Pengarah Pembangunan Belia. - Foto NSTP
Senarai tertinggi dalam kem kejurulatihan remaja kini dikendalikan oleh Datuk Misbun Sidek yang memegang jawatan Pengarah Pembangunan Belia. - Foto NSTP

Struktur baharu kejurulatihan badminton remaja kebangsaan

KUALA LUMPUR: Selepas berlakunya rombakan dalam struktur kejurulatihan kem senior, kini tiba giliran bahagian skuad remaja badminton kebangsaan memperkukuhkan sistem kejurulatihan mereka.

Senarai tertinggi dalam kem kejurulatihan remaja kini dikendalikan oleh Datuk Misbun Sidek yang memegang jawatan Pengarah Pembangunan Belia.

Bekas perseorangan negara, Hazwan Jamaluddin dan Poh Chai Boon pula ditugaskan mengendali bahagian perseorangan bawah 18 tahun manakala tiga pakar beregu iaitu Pang Cheh Chang, Vountus Indra Mawan dan Lutfi Zaim pula bagi unit beregu bawah 18 tahun.

Hafiz Hashim dan Alvin Chew yang sebelum ini bergerak atas nama pemain profesional, menggalas tanggungjawab mengemudi bahagian kanak-kanak lelaki bawah 15 tahun.

Bekas pemenang dalam skuad Piala Thomas 1992, Kwan Yoke Meng pula diberi tugas mengetuai bahagian pembangunan bawah 13 tahun perempuan manakala jurulatih berpengalaman luas, Zhang Hong Yu mengawalselia bahagian bawah 15 dan bawah 14 tahun perempuan.

Mengulas mengenainya, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria percaya di bawah bimbingan Misbun, pihaknya mampu menerapkan tahap disiplin yang tinggi, budaya inginkan kemenangan di kalangan pemain sangat muda dan membantu proses peralihan mereka ke pasukan kebangsaan senior.

"Di BAM, pembangunan jangka panjang berterusan skuad junior kekal sebagai keutamaan kami kerana kami berusaha mencungkil generasi pemain seterusnya.

"Kami akan terus menyediakan persekitaran yang optimum untuk memudahkan perkembangan semua 77 pemain muda di ABM (Akademi Badminton Malaysia)," katanya.

Berita Harian X