Isnin, 25 Mei 2020 | 3:35pm
Chong Wei bersama pemain dan pengurusan pasukan ketika muncul naib juara Piala Thomas 2014.
Chong Wei bersama pemain dan pengurusan pasukan ketika muncul naib juara Piala Thomas 2014.

Lawan dulu baru fikir menang, kalah - Chong Wei

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei mengingatkan pemain yang akan dipilih ke Piala Thomas 2020 sentiasa mempamerkan semangat juang tinggi membawa cabaran Malaysia dalam kejohanan berprestij itu.

Bekas pemain badminton nombor satu dunia itu berkata, walaupun pemain akan berdepan tekanan tinggi, dia percaya dengan persiapan yang terbaik, mereka mampu mengatasinya dalam kejohanan yang disifatkan sebagai Piala Dunia bagi sukan badminton.

"Saya pernah bermain dalam saingan Piala Thomas dan saya tahu tekanan memang tinggi. Tiada tekanan itu memang tipulah tetapi bagaimana kita mahu mengawal tekanan itu yang lebih penting.

"Saya akui kita tidak boleh sentiasa tunjukkan prestasi 100 peratus namun jika kita melakukan persiapan terbaik, kita boleh atasinya. Persiapan mental dan fizikal adalah yang paling penting dalam kejohanan besar seperti ini," katanya yang membantu skuad negara muncul naib juara Piala Thomas pada 2014 di India.

Walaupun hampir pasti turun dengan status 'underdog' pada kejohanan yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark bermula 3 hingga 11 Oktober itu, Chong Wei tetap yakin dengan kemampuan pemain yang majoriti terdiri daripada pemain muda untuk melakar kejutan.

Katanya, mereka sudah pun membuktikannya ketika muncul naib juara pada Kejohanan Berpasukan Asia 2020 di Manila, Filipina sekali gus layak secara merit ke Piala Thomas.

"Menang atau kalah, jangan fikir dulu. Yang penting kita lawan dulu. Tunjukkan kemampuan masing-masing dan gunakan peluang ini untuk raih seberapa banyak pengalaman yang boleh," katanya yang percaya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya akan menyenaraikan pemain benar-benar layak ke Piala Thomas tanpa mengetepikan pemain profesional.

Berita Harian X