Sabtu, 30 Mei 2020 | 2:44pm
BEKAS Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.
BEKAS Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

Chong Wei memang pemurah, tak suka menunjuk

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Zolkples Embong amat mengenali keperibadian Datuk Lee Chong Wei di dalam mahupun di luar gelanggang dengan menyifatkan sifat pemurah dipamerkan ikon badminton negara itu di kala detik sukar wabak COVID-19 sepatutnya menjadi tauladan kepada semua atlet lain.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dari tahun 2007 hingga 2014 itu berkata, sifat Chong Wei yang menyalurkan sumbangan berbentuk wang tunai dan kelengkapan kepada Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala (MAHSP) semalam adalah bukan yang pertama apatah lagi bekas jaguh perseorangan negara itu gemar melakukan kerja amal itu secara senyap sebelum ini.

Malah, Zolkples percaya jumlah disalurkan itu bukan kecil yang secara tidak langsung menzahirkan betapa rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain meskipun berlainan fahaman agama.

"Sebenarnya beliau sudah terlalu banyak menyumbang kepada yang memerlukan, cuma kita saja yang tidak tahu kerana beliau bukanlah jenis yang suka menunjuk-nunjuk," kata Zolkples.

"Selalunya berita sebegini, kita hanya mengetahuinya dari orang lain atau pihak ketiga. Seperkara lagi, kebiasaannya sumbangan yang beliau berikan adalah dalam jumlah yang besar."

Umum mengetahui, Chong Wei, 37, pernah 'membalas budi' kepada sukan badminton negara dengan menyalurkan RM2 juta sebagai persediaan atlet negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu.

Sumbangan itu disalurkan menerusi Yayasan Lee Chong Wei dengan RM1.4 juta diperuntukkan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bakinya, RM600,000 untuk MSN selain tidak pernah lekang berkolaborasi dalam kerja amal seperti 'Hope & Smile' bagi mengumpul derma kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun pada 2011.

"Saya amat mengenali Datuk Lee Chong Wei dan tahu mengenai kehidupan beliau. Kereta apa yang dipandu, kediamannya, pakaiannya dan sebagainya. Beliau mempunyai pengawal dan juga pemandu peribadi.

"Cuma seperti saya katakan tadi, beliau bukanlah jenis yang suka menunjuk-nunjuk. Tidak seperti atlet yang akan memuatnaik di media sosial berkaitan gaya hidup mewah, kereta baharu mereka dan sebagainya.

"Saya berharap, akan ada lebih ramai atlet lagi dapat mengikut jejak langkah Chong Wei untuk menyumbang kepada yang memerlukan. Inilah masanya untuk berbakti kembali kepada masyarakat yang sentiasa memberikan sokongan padu di sepanjang karier mereka," kata Zolkples.

Semalam, Chong Wei memberi sumbangan kepada MAHSP di sini dengan perkongsian mengenainya dimuat naik di akaun Facebook rasmi masjid berkenaan yang turut disertakan tiga gambar pemenang pingat perak di tiga temasya Sukan Olimpik - Beijing (2008), London (2012) dan Rio (2016) - itu menghulurkan sumbangan kepada wakil masjid.

Status dimuat naik MAHSP itu turut dikongsi akaun Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kebanyakan netizen memuji sikap dipamerkan Chong Wei di saat negara berdepan pandemik COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita berkaitan:

  • Tiada niat nak menunjuk-nunjuk - Chong Wei
  • Ramai doa Chong Wei dapat hidayah
  • Chong Wei beri sumbangan kepada masjid
  • Berita Harian X