Khamis, 4 Jun 2020 | 8:13pm
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann. - Foto Owee Ah Chun
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann. - Foto Owee Ah Chun

Tak terjejas biarpun Piala Thomas/Uber ditunda lagi

KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara tidak akan terkesan biarpun saingan Piala Thomas/Uber 2020 ditunda sekali lagi.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata barisan pemain negara tetap akan meneruskan persiapan seperti biasa selepas kejohanan berpasukan itu sudah pun ditunda sebanyak dua kali sebelum ini.

"Saya fikir ia tidak akan memberi kesan dari aspek psikologi pemain. Jadi, tiada sebarang masalah untuk pasukan sekiranya ia ditunda sekali lagi kerana yang lebih penting adalah persiapan kami," kata Choong Hann.

BH Sukan, hari ini melaporkan saingan Piala Thomas/Uber 2020 difahamkan akan ditunda buat kali ketiga dengan ia hanya dijangka berlangsung sama ada pada Januari atau Februari 2021.

Tarikh terbaru yang diberikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan kejohanan di Aarhus, Denmark dijadual bermula 3 hingga Oktober depan selepas dua kali ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

Namun, wujud kebimbangan sekiranya Denmark melanjutkan larangan perhimpunan awam secara besar-besaran dan memaksa BWF perlu mempertimbangkan tarikh baharu.

Choong Hann, berkata sekiranya BWF perlu menunda kejohanan itu, dia percaya ia tidak akan menjejaskan penyertaan pemain dalam kejohanan lain terutama lanjutan pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo akan turut bermula pada Januari.

"Jika BWF buat keputusan untuk menundanya sekali lagi, kita hanya perlu beri keutamaan kepada kejohanan yang penting saja.

"Saya fikir tidak akan timbul masalah kerana kejohanan yang digantikan sebagai pusingan kelayakan Sukan Olimpik hanya akan bermula pada hujung Februari 2021. Jadi, kita tetap boleh fokus kepada Piala Thomas/Uber dan selepas itu fokus fasa akhir pusingan kelayakan Sukan Olimpik," katanya.

Berita Harian X