Jumaat, 26 Jun 2020 | 4:46pm
Pemain badminton Jepun, Kento Momota semakin pulih daripada kecederaan mata akibat kemalangan kereta. - Foto AFP
Pemain badminton Jepun, Kento Momota semakin pulih daripada kecederaan mata akibat kemalangan kereta. - Foto AFP

Momota semakin pulih, teruja buru emas Olimpik

TOKYO: Pemain badminton Jepun, Kento Momota semakin pulih daripada kecederaan mata akibat kemalangan kereta dan menzahirkan hasrat untuk menghadiahkan pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Tokyo nanti.

"Saya boleh melihat tanpa sebarang masalah ketika bermain," kata pemain nombor satu dunia itu yang menjalani pembedahan mata pada Februari selepas insiden berkenaan. "Saya boleh memberikan 100 peratus dalam latihan."

Insiden yang membunuh nyawa pemandu kenderaan berkenaan berlaku beberapa jam selepas pemain berusia 25 tahun itu memenangi kejohanan Masters Malaysia ketika menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Saya mahu melakukan yang terbaik setiap hari untuk mencapai sasaran memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo," katanya.

Pandemik COVID-19 memaksa penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 selama setahun dengan jadual terbaharu menyaksikan temasya dijadual bermula pada 23 Julai 2021.

Momota yang tidak menyertai Sukan Olimpik Rio 2016 kerana menerima hukuman gantung atas kesalahan memasuki kasino haram mengakui kecewa dengan penundaan temasya.

"Saya hanya mempunyai enam bulan selepas pembedahan. Saya tidak mempunyai masa rehat. Saya cuba memberikan yang terbaik setiap hari (dalam latihan)," katanya. "Jadi sukar untuk saya gambarkan perasaan saya apabila saya perlu melakukan lebih lagi nanti."

Begitupun, Momota berkata dia sudah berlatih dengan gigih untuk kekal fokus dan positif bagi mencapai kemenangan di temasya berkenaan.

"Saya tidak mahu membuat alasan, dengan berkata saya tidak boleh melakukan dengan baik kerana perkara ini ataupun apa yang sudah berlaku," katanya.

COVID-19 diakui mengganggu latihannya tetapi Momota berkata, dia mengambil masa itu untuk menganalisa permainannya dan memperbaiki kelemahan diri.

"Saya fikir saya boleh mempertingkatkan teknik. Saya mahu memperkemaskan skil serangan," katanya.

- AFP

Berita Harian X