Selasa, 30 Jun 2020 | 4:46pm
Norza (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-20 di Wisma Olimpik Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
Norza (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-20 di Wisma Olimpik Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Belum dapat 'ilham' anjur Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu meneliti pelbagai aspek sebelum memutuskan sama ada kejohanan Terbuka Malaysia 2020 akan dianjurkan semula atau sebaliknya, November depan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, penganjuran kejohanan yang sepatutnya berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil itu perlu diperhalusi, apatah lagi ia bakal menelan kos tambahan susulan COVID-19 selain status kejohanan itu sendiri yang tidak menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Yang pertama, Terbuka Malaysia tahun ini bukan sebahagian daripada kejohanan kelayakan. Kedua kita tengok kemampuan kita untuk menganjurkannya kerana apabila COVID-19 ini, ia membabitkan kos tambahan.

"Kita tak boleh meraih kapasiti stadium penuh kerana penjarakan sosial. Kita perlu kurangkan kepada jumlah minimum penonton. Kedua, perlu sanitizer, perlu letak peralatan suhu dan sebagainya. Jadi, kita ada tambahan kos tetapi kurang keuntungan.

"Selain itu, kita tak tahu sama ada pemain handalan akan datang atau tidak kerana ia bukan kejohanan kelayakan. Jadi, saya akan mengadakan mesyuarat pengurusan untuk memperincikan perkara ini," katanya.

Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma MOM, hari ini.

Terdahulu, kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$750,000 (RM3.2 juta) itu dijadualkan berlangsung dari 31 Mac hingga 5 April lalu, namun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyusun semula kalendar kejohanan 2020 akibat penularan COVID-19 yang menyaksikan ia diubah kepada November ini.

Penyusunan kalendar kejohanan 2020 oleh BWF menyaksikan mata kelayakan ke Sukan Olimpik hanya akan dikira menerusi kalendar musim 2021.

Norza berkata, sekiranya BWF boleh membantu dalam melicinkan penganjuran kejohanan itu, pihaknya tiada masalah untuk menganjurkannya.

"Sekiranya tidak dan membabitkan perbelanjaan besar, saya lebih rela menggunakan kewangan yang ada untuk menghantar lebih ramai pemain keluar negara menyertai kejohanan.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemain remaja bersama kita tidak lagi di Bukit Jalil, jadi saya perlu memberi lebih pendedahan bukan hanya kepada pemain senior tetapi juga remaja.

"Mereka memerlukan antara 12 ke 15 kejohanan untuk membolehkan ranking meningkat. Sehingga detik ini, kewangan akan lebih kepada pembangunan BAM berbanding menganjurkan Terbuka Malaysia," katanya.

Berita Harian X