Ahad, 26 Julai 2020 | 8:20pm
Misbun ketika hadir di Akademi Badminton Malaysia hari ini. -FOTO BERNAMA
Misbun ketika hadir di Akademi Badminton Malaysia hari ini. -FOTO BERNAMA

Misbun enggan tekan pemain

KUALA LUMPUR: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek tidak mahu terburu-buru dalam mengejar cita-cita meletakkan pemain muncul juara acara berpasukan campuran Kejohanan Dunia Remaja, Januari depan.

Legenda itu berkata, beliau tidak mahu tergesa-gesa terhadap program pemain dan bakal mengambil pendekatan selamat dengan memberikan latihan sederhana terlebih dahulu.

"Apa yang penting keselesaan dan kefahaman yang kita nak berikan kerana tempoh empat bulan jangka masa yang panjang, walaupun kita buat latihan menerusi (aplikasi) Zoom dan ada pemain yang mengikuti latihan bersama pasukan negeri mereka.

"Walaupun kita lalui waktu yang sangat sukar pada pandemik ini, tapi keseluruhannya, pemain mula berdisiplin, bersemangat ikut apa yang kita buat. Seperti negara lain, kita pun mempunyai cita-cita untuk juarai acara berpasukan campuran Kejohanan Dunia," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Misbun hadir menyaksikan anak buahnya melapor diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, selepas lebih empat bulan berlatih sendirian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Jadi apa yang kita cuba buat merancang banyak perkara, seperti memutuskan siapa yang bermain acara perseorangan dan beregu, yang kita kena rancang dengan betul-betul untuk membentuk satu pasukan yang mantap," katanya.

Malaysia hanya pernah muncul juara kejohanan itu pada 2011, walaupun pernah melahirkan beberapa juara dunia remaja seperti Goh Jin Wei yang meraih gelaran perseorangan wanita pada 2015 dan 2018, Zulfadli Zulkiffli (perseorangan lelaki 2011), Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi (beregu lelaki 2011) dan Ow Yao Han-Yew Hong Kheng (beregu lelaki 2010).

Terdahulu, seramai 43 pemain ABM berusia antara 16 hingga 18 tahun dan enam jurulatih telah melapor diri ke akademi itu, manakala kumpulan pemain berusia antara 13 hingga 15 tahun dijangka kembali pada 16 Ogos.

Pemain yang melaporkan diri termasuk Muhammad Fazriq Mohamad Razif, akan dikuarantin di bilik masing-masing dan dijangka memulakan latihan Selasa ini selepas mendapat keputusan ujian swab bagi COVID-19.

Kejohanan Dunia Remaja 2020 yang sepatutnya berlangsung di Auckland, New Zealand dari 28 Sept hingga 11 Okt ini, telah ditunda kepada 11 hingga 24 Jan depan.

Sementara itu, Misbun berkata pihaknya sedang merancang Kejohanan Bawah 21 tahun kebangsaan dari 2 hingga 6 Sept ini, sebagai ujian pertama kepada pemain-pemain muda selepas PKP.

Misbun yang hanya memulakan tugasnya selaku pengarah pembangunan remaja pada Februari lepas berkata beliau tidak akan masuk campur dalam program yang disediakan oleh jurulatih, tetapi hanya akan memberikan tunjuk ajar jika perlu. - BERNAMA

Berita Harian X