Rabu, 29 Julai 2020 | 3:01pm

BWF batal 4 kejohanan badminton antarabangsa

KUALA LUMPUR: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memutuskan untuk membatalkan empat kejohanan antarabangsa selepas mengadakan rundingan dengan tuan rumah setiap kejohanan, susulan penularan COVID-19.

Empat kejohanan itu ialah Terbuka Taiwan 2020, dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 6 September, Terbuka Korea (8 hingga 13 September), Terbuka China (15 hingga 20 September) dan Terbuka Jepun (22 hingga 27 September).

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan kesihatan pemain, penonton, sukarelawan dan ahli gabungan mereka.

"Kami sangat kecewa terpaksa membatalkan kejohanan ini, tetapi merasakan bahawa kesejahteraan semua yang terbabit adalah yang paling penting pada masa ini.

"Saya menghargai usaha yang dilakukan oleh ahli persatuan di rantau ini sepanjang proses ini atas kesabaran dan komitmen terhadap BWF," katanya.

Lund juga menegaskan bahawa badan induk dunia itu akan terus menyelaraskan sebarang aktiviti sukan badminton agar mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pihak berkuasa kesihatan tempatan serta larangan perjalanan antarabangsa dan domestik. - BERNAMA

Berita Harian X