Khamis, 10 Ogos 2017 | 10:01am
- Gambar hiasan

Ketidakbatasan maklumat menduga kita

Hangatnya perbincangan mengenai Revolusi Industri Keempat (Revolusi Industri 4.0) sehingga ia menjadi agenda diskusi akademik banyak universiti. Revolusi ini dilihat mampu ubah setiap fasa kehidupan dan mempengaruhi banyak aspek hidup.

Revolusi kali ini mengubah landskap kehidupan manusia melalui penciptaan internet, satu teknologi yang begitu berkuasa dan mengubah pandang dunia serta amalan seseorang. Jika dilihat dari sudut positifnya, umumnya revolusi ini membentuk masyarakat 'berpengetahuan' atau knowledge society yang rata-rata berkeupayaan mencipta, membentuk dan menggunakan pengetahuan untuk pembangunan dan kemakmuran.

Selain itu, landskap baharu ini juga menawarkan masyarakat berjaringan atau network society, di mana kuasa adalah di tangan semua orang. Pendemokrasian maklumat berlaku, ditadbir urus masyarakat massa dengan kebijaksanaan bersama.

Di sinilah aturan lama diubah dan berubah. Di peringkat pengajian tinggi, idea bahawa graduan perlu mencapai tahap keperluan industri dan berdaya kerja tidak lagi semata-mata benar. 'Model kilang' dari segi kebolehupayaan graduan berubah kepada proses yang jauh lebih kompleks, membabitkan proses 'belajar', 'tidak belajar' dan 'belajar semula'. Proses pembelajaran bukan hanya membabitkan proses dalam kelas.

Hari ini, pembelajaran itu di mana-mana, malah berlaku tanpa guru dengan ada internet dan gajet. Telefon pintar dan internet beri akses jauh lebih mobil berbanding komputer dan komputer riba. Bagi pelajar, bijak atau tidak memilih, itu cabarannya.

Ketidakbatasan maklumat ini sebenarnya menduga kita. Limpahan maklumat ini ujian kepada pensyarah dan pelajar sebenarnya. Banyaknya pilihan bermakna lebih banyak 'kepintaran' diperlukan untuk tapis yang hak dan batil. Natijahnya, lebih banyak juga saringan perlu difahami dan diwujudkan untuk membatasi dunia tanpa sempadan yang terlalu berwarna warni. Kita tidak mahu, berlakunya perubahan dalam kehidupan tetapi perubahan itu ke arah kemunduran dan kerosakan. Itu saya gelar 'perubahan primitif' dan kita tidak perlukan itu.

Ubah gaya pengajaran

Pensyarah perlu ubah gaya pengajaran. Kuasai pelbagai teknik kerana pensyarah yang lemau dikhuatiri kalah dengan kehebatan internet yang izinkan pembelajaran tanpa guru. Bagi pelajar, dunia tanpa sempadan perlu dilihat sebagai peluang menjejaki dunia lebih daripada peluang yang ada pada generasi sebelum ini. Teknologi adalah medium, dan kita penggeraknya. Maka gerakkanlah teknologi ke arah progresif dan positif.

Dalam aspek ini, agama tidak harus ditinggalkan dan bertindak sebagai satu elemen terpenting dalam mengharungi dunia tanpa sempadan ini.

Kita perlu ada sempadan mengenai sesetengah perkara agar tidak terlalu leka dan berteka-teki. Bagi yang beragama Islam misalnya, akidah perlu dijaga, isu semasa berkaitan fikah difahami secara berguru dan akhlak sentiasa dijaga di alam nyata dan maya.

Semua itu tidak mustahil kita capai andainya kita mengambil peluang revolusi industri keempat ini sebagai platform memajukan diri ke arah kebaikan, dan sedia menyempadani ilmu dengan ilmu naqli (ilmu al-Quran) kerana tidak semua ilmu perlu berubah. Ada ilmu kekal sifatnya, dan itu patut jadi sempadan hidup, apabila yang lain tuntut perubahan, yang drastik dan dramatik sifatnya, kita perlu bergerak dinamik dengan asas tertentu yang kuat dan jelas.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia dan Penulis Tamu, Majlis Profesor Negara

Berita Harian X