Khamis, 18 September 2014 | 12:05pm

Lelaki mengaku tidak bersalah miliki pistol, peluru hidup

ANGGOTA polis membawa Kee Chee Loon, 27, keluar dari Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini selepas dituduh memiliki sepucuk pistol dan 44 butir peluru hidup tanpa kebenaran di Jalan Besar Air Lintas, Nibong Tebal, minggu lalu. Kee Chee Loon bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu. - Foto Danial Saad
ANGGOTA polis membawa Kee Chee Loon, 27, keluar dari Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini selepas dituduh memiliki sepucuk pistol dan 44 butir peluru hidup tanpa kebenaran di Jalan Besar Air Lintas, Nibong Tebal, minggu lalu. Kee Chee Loon bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu. - Foto Danial Saad

BUTTERWORTH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 44 butir peluru hidup tanpa kebenaran di Jalan Besar Air Lintas, Nibong Tebal, minggu lalu.

Kee Chee Loon, 27, yang memakai baju T biru lengan pendek, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi dan minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dalam kawalan dan pengetahuannya sepucuk pistol berwarna crome dan but berwarna hitam tercatat perkataan 'MAC' model 1950 9mm, bernombor siri T7437 tanpa kebenaran.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di bengkel kereta Choon Auto Service, No 1502 Jalan Besar Air Lintas, Nibong Tebal pada jam 11.20 malam, 9 September lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Chee Loon didakwa pada tempat dan masa sama, didapati dalam kawalan dan pengetahuannya 40 butir peluru hidup jenis luger 9mm, sebutir peluru hidup jenis SME 9mm dan tiga butir peluru hidup jenis pme 45 auto, tanpa kebenaran.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih

Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya enam kali.

Sementara, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8 (b) akta yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud manakala tertuduh tidak diwakili

peguam.

Berita Harian X