X
Rabu, 24 September 2014 | 9:51pm

Lelaki direman bantu siasatan hina institusi diraja, polis di blog

JOHOR BAHRU: Polis hari ini mendapat kebenaran mahkamah untuk menahan reman seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menghina institusi diraja dan polis menerusi sebuah laman blog.

Majistret Salina Omar mengeluarkan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini terhadap lelaki berusia 29 tahun itu untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

Peguam lelaki berkenaan, New Sin Yew ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata lelaki tersebut yang ditahan semalam, di Shah Alam, Selangor diperlukan polis untuk siasatan lanjut berhubung beberapa kenyataan yang dibuat menerusi blog berkenaan.

Katanya, lelaki itu ditahan selepas polis bertindak atas laporan yang dibuat orang awam pada 11 Jun 2013 mengenai blog berkenaan.

"Polis memberi alasan perintah reman itu adalah bagi memberi masa untuk polis merakamkan keterangan, menguruskan barang kes serta mengesan rakan sekutu yang terbabit," katanya.

Terdahulu, lelaki yang memakai baju T berwarna putih itu tiba di perkarangan mahkamah di sini, kira-kira jam 2.30 petang dengan diiringi anggota polis.

- BERNAMA

Berita Harian X