Rabu, 22 Oktober 2014 | 5:29pm
ROSLAN Othman melihat keadaan kereta miliknya yang dipercayai dibakar dengan 'molotov cocktail' oleh individu tidak dikenali ketika ditemui di Taman Bukit Indah di sini hari ini. - Foto BERNAMA
ROSLAN Othman melihat keadaan kereta miliknya yang dipercayai dibakar dengan 'molotov cocktail' oleh individu tidak dikenali ketika ditemui di Taman Bukit Indah di sini hari ini. - Foto BERNAMA

Kereta pegawai kastam terbakar angkara perbuatan khianat

JITRA : Perodua Kelisa milik seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia terbakar di kediamannya di Taman Bukit Indah, di sini pagi tadi, dipercayai angkara perbuatan khianat individu tidak dikenali.

Kereta milik mangsa, Roslan Othman, 56 itu terbakar selepas dipercayai terkena bom botol atau 'molotov cocktail' yang dibaling dari luar rumah dalam kejadian jam 5 pagi.

Roslan berkata, kejadian itu disedarinya selepas menerima panggilan telefon daripada seorang jiran yang ternampak api sedang marak pada kereta di depan rumahnya.

"Bila saya keluar api sudah marak dan saya bersama anak bergegas memadam api dengan air sebelum menunggu bantuan daripada pihak bomba," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Roslan yang bertugas di Unit Dagangan Kastam, Bukit Kayu Hitam berkata, beliau bernasib baik kerana api tidak merebak ke rumahnya dan sebuah lagi kereta yang terletak di hadapan kereta yang terbakar.

Roslan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan perbuatan khianat memandangkan pihak polis yang datang membuat pemeriksaan turut mengesan kewujudan serpihan botol plastik dipercayai berisi cecair mudah terbakar.

Katanya, perbuatan khianat ini adalah kali kedua berlaku terhadap keluarganya selepas rumahnya sebelum ini pernah dikejutkan dengan tembakan rambang pada 2010.

Katanya, beliau bersyukur kerana tiada kecederaan ke atas dirinya, isteri dan empat anaknya walaupun terpaksa menanggung kerugian hampir RM30,000 akibat kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, siasatan awal pihaknya menemui serpihan bekas plastik berwarna hijau yang terbakar dan berbau petrol di belakang kereta mangsa.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X