Khamis, 23 Oktober 2014 | 6:12pm

Polis tahan 7 anggota kumpulan samun, pecah rumah

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah (kanan) bersama Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Wan Hassan Wan Ahmad (kiri) bertemu dengan mangsa samun, G George, 44, (dua dari kanan) selepas keluarganya didatangi dua lelaki yang menyamar sebagai inspektor polis di Jalan Paboi Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan (SPS) Nibong Tebal. - Foto Amir Irsyad Omar

NIBONG TEBAL: Polis menahan tujuh anggota kumpulan samun dan pecah rumah, empat daripada mereka dipercayai menyamar sebagai polis dan menyamun sebuah keluarga di sebuah ladang kelapa sawit di Simpang Ampat di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah hari ini, berkata semua suspek termasuk seorang wanita itu ditahan dalam satu serbuan di Kuala Muda, Kedah, Jumaat lalu.

Katanya, semua suspek terbabit dipercayai anggota kumpulan samun dan pecah rumah yang aktif di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

"Siasatan awal mendapati kumpulan itu aktif melakukan kegiatan samun, pecah rumah dan curi kereta di dua negeri berkenaan dan rekod juga mendapati kenderaan yang digunakan empat lelaki terbabit dalam kejadian di sebuah rumah di Simpang Ampat adalah kereta yang dilaporkan hilang di Pulau Tikus, Georgetown baru-baru ini," katanya kepada pemberita semasa melawat keluarga G George, seorang pengamal perubatan alternatif India di rumahnya di sini.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Wan Hassan Wan Ahmad (kanan) menyampaikan hamper ketika melawat mangsa samun, G George, 44, (empat dari kiri) selepas keluarganya didatangi dua orang lelaki yang menyamar sebagai inspektor polis di Jalan Paboi Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan (SPS) Nibong Tebal. - Foto Amir Irsyad Omar

Lawatan itu adalah sempena Program Kepolisan Berprofil Tinggi di daerah Seberang Perai Selatan.

Sementara itu, George, 44, berkata beliau, isteri dan anak lelakinya masih trauma dengan kejadian itu yang berlaku pada jam 3.30 petang, Rabu minggu lalu.

Katanya, suspek terbabit yang secara tiba-tiba memberhentikan kenderaan mereka di hadapan rumahnya, mengugutnya supaya segera membuka pintu kerana mendakwa dia melakukan kesalahan menyebabkan kematian ke atas seorang pesakit yang diubatinya.

"Mereka memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan cara kasar sebelum meluru masuk dan memberi amaran supaya tidak melakukan apa-apa dan tidak melawan jika tidak mahu dicederakan.

"Saya tidak mampu menghalang atau berbuat apa-apa dan mereka menyelongkar rumah kami sebelum melarikan barang berharga seperti komputer riba, telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai RM1,000," katanya kepada pemberita di rumahnya, di sini. - BERNAMA

Berita Harian X