Jumaat, 24 Oktober 2014 | 4:06pm

Bapa dera 2 anak akibat berang biskut habis dipenjara 8 bulan

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dipenjara lapan bulan dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan mendera dua anaknya berumur lapan dan lima tahun minggu lepas, gara-gara berang biskut habis.

Majistret Nor Azura Murah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan RM4,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Suhaimie Ahmad Tahir, 36, dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dihukum penjara lima bulan lagi jika gagal membayar denda.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat di Pantai Dalam pada 2.35 petang, 19 Oktober lepas.

Mohd Suhaimie yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, ketika kedua-dua mangsa berada di rumah pada hari kejadian, tertuduh bertanya kepada mereka: "Siapa yang habiskan biskut?"

Apabila anak-anaknya saling menyalahi antara satu sama lain, tertuduh berang dan mengambil air panas di dalam periuk lalu meletakkannya di hadapan mereka sambil mengulangi soalan mengenai biskut itu.

Setelah kedua-dua beradik itu masih tidak mengaku, Mohd Suhaimie menarik tangan kiri anak lelakinya yang berusia lima tahun lalu mencelupnya ke dalam air panas selain menampar muka mangsa.

Mohd Suhaimie mengulangi perbuatan itu terhadap anak perempuannya yang berusia lapan tahun serta menampar muka mangsa beberapa kali.

Pegawai Pendakwa, ASP Nom Phot Prakdit memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap tertuduh kerana hukuman denda tidak setimpal dengan kecederaan yang dialami mangsa dan mendera kanak-kanak adalah kesalahan serius.

Sebelum itu ketika rayuan, Mohd Suhaimie memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja dan turut meminta maaf atas perbuatannya kerana dia dalam keadaan marah ketika itu.

- BERNAMA

Berita Harian X