X
Khamis, 29 Januari 2015 | 9:39pm
SEORANG pengarah urusan syarikat pembalakan, TH Group Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 53 tuduhan memperoleh lebih 2.7 juta unit saham syarikatnya melalui penyampaian maklumat sulit, tujuh tahun lepas. - Foto hiasan
SEORANG pengarah urusan syarikat pembalakan, TH Group Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 53 tuduhan memperoleh lebih 2.7 juta unit saham syarikatnya melalui penyampaian maklumat sulit, tujuh tahun lepas. - Foto hiasan

Pengarah urusan syarikat pembalakan didakwa peroleh 2.7 juta unit saham

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah urusan syarikat pembalakan, TH Group Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 53 tuduhan memperoleh lebih 2.7 juta unit saham syarikatnya melalui penyampaian maklumat sulit, tujuh tahun lepas.

Lei Lin Thai, 77, yang diwakili peguam Alex Tan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tiga wanita iaitu Wong Joon Mui, 44, Chung Yin Mui, 64, dan Lau Sin Ling, 44, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Lei selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Lei didakwa memperoleh 2.77 juta unit saham syarikat melalui akaun Sistem Depositori Pusat milik Wong, Chung dan Lau serta seorang lagi wanita, Ng Lai Sim.

Lei didakwa memperoleh unit saham itu dengan cara menyampaikan maklumat sulit iaitu maklumat cadangan penswastaan TH Group Berhad melalui 'Selective Capital Repayment', yang tidak boleh didapati secara umum.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini antara 5 Jun hingga 22 September 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Wong, 44, yang diwakili peguam Mohd Radhi Azizan, didakwa terhadap 23 pertuduhan bersubahat dengan Lei bagi memperoleh 890,000 unit saham syarikat TH Group Berhad, antara 1 Ogos hingga 11 September 2008.

Chung, 64, yang diwakili peguam Geraldine Oh, didakwa terhadap 13 pertuduhan bersubahat dengan Lei bagi memperoleh 557,700 unit saham syarikat itu antara 5 Jun hingga 5 Ogos 2008.

Lau, 44, yang diwakili peguam Masleena Zaid didakwa atas enam tuduhan bersubahat dengan orang yang sama bagi memperoleh 578,900 unit saham syarikat TH Group Berhad antara 15 September hingga 22 September 2008.

Ketiga-tiga wanita itu didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di Bursa Malaysia Securities Berhad, mengikut Seksyen 370(1)(c) akta yang sama.

Hakim Mat Ghani Abdullah kemudiannya membenarkan Lei diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin manakala Wong dan Chung diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, Lau, seorang warga Singapura dikenakan jaminan RM100,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Ng Lai Sim, 47, didakwa terhadap 11 pertuduhan bersubahat dengan Lei bagi memperoleh 740,000 unit saham syarikat itu di Bursa Malaysia Securities Berhad antara 18 Jun hingga 24 Julai 2008.

Wanita itu, yang diwakili peguam Lim Kon Keen, didakwa mengikut Seksyen 370(1)(c) akta sama, yang memperuntukkan hukuman sama.

Hakim Abdul Rashid Daud membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah memerintahkan supaya kesemua kes itu dibicarakan bersama dan menetapkan 3 Mac depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rosmawar Rozain daripada Suruhanjaya Sekuriti. - BERNAMA

Berita Harian X