X
Selasa, 10 Februari 2015 | 6:24pm

Polis serbu bangsal proses air ketum, tahan 20 lelaki

Timbalan Ketua JSJN Pulau Pinang, Deputi Superintendan Lee King Chuan (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan bungkusan daun dan air ketum ketika membuat satu serbuan oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang di Kampung Balik Bukit, Nibong Tebal, hari ini. -Foto Zulaikha Zainuzman

NIBONG TEBAL: Polis menahan 20 lelaki dalam serbuan di sebuah bangsal memproses daun dan air ketum di Kampung Balik Bukit di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Deputi Superintendan Lee King Chuan berkata, serbuan pada 8 pagi itu oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) bersama JSJN negeri adalah hasil intipan sejak dua minggu lepas.

Beliau berkata, mereka berusia antara 19 dan 57 tahun, dan ada di antara mereka positif dadah.

"Ketika serbuan itu, pemilik bangsal dan tiga pekerja sedang menyediakan air ketum untuk dijual kepada pelanggan mereka dengan harga RM5 sebungkus. Setiap hari mereka menjual sehingga 120 bungkus air ketum," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Lee berkata, pemilik bangsal berusia 40-an itu merupakan penternak lembu di Padang Serai, Kulim dan pernah ditahan atas kesalahan sama tahun lepas.

"Dia tetap menjalankan kegiatan itu walaupun pernah ditahan sebelum ini. Malah kali ini, lelaki itu turut menanam pokok ketum di sekitar ladang kelapa sawit di sekitar bangsal itu," katanya.

Beliau berkata, polis juga merampas 146 bungkus air ketum, 32 kilogram daun ketum dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses air ketum.

Sementara itu, dalam Ops Sarang di Seberang Perai Tengah (SPT), Lee berkata, pihaknya menahan 22 penagih dadah dan merampas 0.5 gram dadah heroin.

"Seramai 22 lelaki berusia antara 20 dan 34 tahun itu ditahan di lima lokasi di sekitar SPT dan mereka kini direman bagi membantu siasatan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X