Rabu, 18 March 2015 | 1:18pm

11 PATI warga Myanmar ditahan di Kedah

PEGAWAI Imigresen memeriksa dokumen warga asing dalam Ops Pintu di Jalan Langgar, Alor Setar. - Foto ihsan Imigresen Kedah
PEGAWAI Imigresen memeriksa dokumen warga asing dalam Ops Pintu di Jalan Langgar, Alor Setar. - Foto ihsan Imigresen Kedah

ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun antara 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang ditahan Jabatan Imigresen Kedah dalam 'Ops Pintu' di sekitar Alor Setar dan Pokok Sena, awal hari ini.

Pengarahnya, Mohamad Yusri Hashim berkata, dalam operasi dua jam bermula 1 pagi tadi, kesemua PATI lelaki berusia 13 hingga 26 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan ke atas dua buah rumah yang menjadi tempat tinggal mereka.

Katanya, ketika serbuan, beberapa PATI cuba menyembunyikan diri bagi mengelak dicekup tetapi usaha mereka gagal kerana pihak Imigresen berjaya mengesan kedudukan mereka terlebih dahulu.

Kesemua PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tiada dokumen dan pas yang sah untuk berada di dalam negara ini, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PATI yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Imigresen Belantik, Sik. - BERNAMA

Berita Harian X