Rabu, 18 March 2015 | 3:47pm

Polis berkas suspek terbabit 14 kes pecah rumah

ACP Azlee (tig dari kiri) menunjukkan barang rampasan bagi kes pecah rumah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini. - Foto BERNAMA
ACP Azlee (tig dari kiri) menunjukkan barang rampasan bagi kes pecah rumah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam 14 kes pecah rumah di sekitar Lembah Klang serta merampas pelbagai barangan bernilai RM500,000.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, suspek yang berusia 37 tahun dan bergiat aktif sejak 2012 itu ditahan pada jam 1.45 tengah hari di sebuah unit pangsapuri di Taman Bukit Mandarina, Cheras pada 12 Mac lepas.

"Suspek memiliki 12 rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing suspek didapati positif dadah jenis ganja.

Ekoran daripada tangkapan itu, polis merampas pelbagai barangan antaranya barang kemas, televisyen, komputer riba, telefon bimbit, jam tangan dan peralatan yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah pecah rumah seperti playar," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, hari ini.

Selain itu, polis turut menahan dua individu lain iaitu peniaga kedai komputer dan barang kemas kerana membeli barangan yang dicuri suspek selain disyaki terbabit dalam proses pelupusan barangan berkenaan.

"Polis masih mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X