X
Sabtu, 25 April 2015 | 5:40pm

Suspek kes bunuh ditahan bersama 150 peluru

BESUT: Seorang suspek utama yang dikehendaki berhubung kes bunuh di Kelantan dua tahun lalu ditahan awal pagi tadi bersama 150 peluru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah, berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira 5.30 pagi di Kampung Amir di sini.

Beliau berkata, suspek cuba melarikan diri dengan keretanya ketika dua anggota polis MPV sedang menjalankan tugas rondaan di Jabi, Jerteh.

"Sebaik anggota kita menghampiri kereta itu dan meminta pemandunya mengemukakan kad pengenalan diri, suspek terus bertindak memecut keretanya," katanya.

Suspek yang berasal dari Besut bagaimanapun ditahan selepas itu.

Wan Abd Aziz berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek, pihaknya menemui 150 butir peluru hidup yang diisi dalam tiga kotak peluru, sebilah kapak kecil dan pisau.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 20 biji pil disyaki dadah, peralatan menghisap dadah, pasport antarabangsa serta wang tunai kira-kira RM900.

Lelaki itu adalah suspek utama dalam kejadian bunuh pada 2013 yang membabitkan kematian seorang mangsa di Kampung Gong Mengkeleh, Jalan Pasir Puteh, Kelantan.

Wan Abd Aziz berkata, suspek direman untuk disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 7 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

Berita Harian X