X
Isnin, 1 Jun 2015 | 1:11pm

2 maut, nahas 4 kenderaan di Setapak

DUA maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Genting Kelang dari arah Bulatan Pahang ke Setapak. - Foto Ihsan pembaca
DUA maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Genting Kelang dari arah Bulatan Pahang ke Setapak. - Foto Ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Dua maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Genting Kelang dari arah Bulatan Pahang ke Setapak di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 1.15 pagi itu, pemandu Nissan Grand Livina, Kok Yik Hong, 35, dan rakannya, Sam Ah Mooi, 60, maut di tempat kejadian.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S Markandan, berkata nahas berlaku apabila sebuah Proton Wira dari arah Setapak menghala ke Bulatan Pahang terbabas lalu melanggar tembok pembahagi jalan di sebelah kanan jalan.

"Ia menyebabkan kereta Wira itu turut melanggar Nissan Grand Livina dan sebuah Perodua Myvi yang berada di laluan bertentangan.

"Grand Livina itu kemudian dilanggar sebuah lori yang berada di laluan tengah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Markandan berkata, dua lagi penumpang Grand Livina isteri Kok, Koo Siew Yen, 36, dan anak lelaki Thomas, Kong Zhi Yuan, 5, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

"Pemandu Proton Wira dan dua penumpangnya mengalami cedera ringan manakala pemandu Perodua Myvi dan pemandu serta kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X