Selasa, 2 Jun 2015 | 7:38pm

Pemandu van ditahan selepas langgar motosikal

GEORGE TOWN: Seorang pemandu van kilang yang cuba melarikan diri selepas melanggar seorang penunggang motosikal sehingga maut, ditahan orang ramai apabila van itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Lebuhraya Tun Dr lim Chong Eu, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid, berkata dalam kejadian itu jam 6.15 pagi, dua motosikal dari arah Jambatan Pulau Pinang menghala ke bulatan Gelugor bergesel menyebabkan kedua-dua penunggangnya jatuh ke atas jalan.

"Ketika itu van kilang yang dipandu lelaki berusia 35 tahun itu berada di belakang dua motosikal berkenaan dan pemandunya dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar seorang penunggang motosikal yang jatuh itu.

"Pemandu berkenaan terus memandu vannya untuk melarikan diri sebelum terbabas ke kanan jalan serta melanggar pembahagi jalan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata penunggang motosikal yang maut dalam kejadian itu ialah Mohd Hassan Zainul Abidin, 54, yang ketika kejadian dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis bekerja di sebuah kilang di Perai.

Mior Faridalatrash berkata, seorang lagi penunggang motosikal yang terbabit kemalangan itu patah kaki kiri dan lelaki berusia 46 tahun itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang manakala pemandu van yang cedera di kepala dirawat sebagai pesakit luar. - BERNAMA

Berita Harian X