Selasa, 16 Jun 2015 | 7:13pm

Penjara 20 hari ugut isteri orang lakukan seks

KUALA LUMPUR: Akibat mengugut isteri orang supaya melakukan hubungan seks dengannya, seorang pekerja kilang dihukum penjara 20 hari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor, menjatuhi hukuman itu terhadap Kwang Yee Shean, 36, yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut seorang juruhias berusia 33 tahun, di sebuah premis perniagaan di Sentul di sini, jam 10 pagi, 23 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 9 Jun lalu, dan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, Kwang menghantar mesej teks menerusi aplikasi Wechat kepada mangsa dan meminta wanita itu menemuinya untuk melakukan hubungan seks, tetapi mangsa menolak.

Kwang mengugut akan menghantar teks menerusi aplikasi Facebook Messenger memberitahu kepada semua orang bahawa mangsa adalah pelacur dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi mangsa melalui nombor telefon yang disebarkan tertuduh.

Tertuduh juga mengugut akan menyebarkan rahsia mangsa dan akan melakukan sesuatu yang buruk kepada wanita itu.

Ketika rayuan, Kwang yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia adalah penanggung tunggal keluarga selain menyesal dengan perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh cuba menjatuhkan harga diri dan memalukan mangsa. - BERNAMA

Berita Harian X