X
Selasa, 23 Jun 2015 | 5:35pm

Tukang gunting hadapi 8 tuduhan ubah wang haram

ANGGOTA polis membawa C Ananthakumar untuk dihadapkan ke mahkamah. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
ANGGOTA polis membawa C Ananthakumar untuk dihadapkan ke mahkamah. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

SHAH ALAM: Seorang tukang gunting rambut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap lapan pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram pada Jun tahun lalu.

C Ananthakumar, 25, yang memiliki sebuah kedai gunting rambut di Klang membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Tertuduh didakwa atas enam pertuduhan memperoleh wang berjumlah RM500,700 dengan cara mengeluarkannya melalui cek tunai daripada akaun semasa CIMB Bank Berhad milik syarikat Eco Tec Trading yang adalah hasil daripada aktiviti haram.

Ananthakumar juga didakwa atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM499,832.50 dalam akaun semasa CIMB Bank Berhad milik Eco Tec Trading melalui 'Remittance Credit' daripada akaun HSBC Hong Kong milik seorang individu bernama Chui Hiu Ming yang beralamat di Shaukiwan, Hong Kong.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad cawangan Casa Klang, Gf-B Casa Klang, 39 Block A/KU01, Jalan Meru, Klang dekat sini, antara 10 dan 19 Jun 2014.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya S Thangavelu yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM300,000 bagi semua pertuduhan dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Peguam Jeremy Vinesh Anthony yang mewakili Ananthakumar bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan yang dicadangkan atas alasan anak guamnya perlu menyara ibu bapanya yang menghidap kencing manis.

"Anak guam saya juga seorang pesalah muda dan hari ini sepatutnya majlis pertunangannya tetapi terpaksa dibatalkan kerana pertuduhan ini," katanya.

Hakim Zamri kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM150,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya ke mahkamah sehingga kes selesai.

- BERNAMA

Berita Harian X