Selasa, 7 Julai 2015 | 11:45am

Ibu bapa bayi koma direman 4 hari

PUTRI Wafa mengalami pendarahan pada otak serta mata dan kini berada dalam koma. - Foto Danial Noordin
PUTRI Wafa mengalami pendarahan pada otak serta mata dan kini berada dalam koma. - Foto Danial Noordin

SUNGAI PETANI: Pasangan suami isteri ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung kes dera membabitkan bayi perempuan mereka berusia empat bulan yang kini dilapor koma.

Perintah tahanan reman selama empat hari sehingga 10 Julai ke atas anggota tentera berusia 26 tahun dan isterinya, 25, itu dikeluarkan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun di Sungai Petani, pagi ini.

Pasangan terbabit ditahan polis malam tadi selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, untuk diambil keterangan susulan perkembangan terkini kes berkenaan terutama laporan pakar perubatan.

Rabu lalu, Putri Wafa Mohamad Saifudin, dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini selepas dikatakan mengalami sawan ketika berada di pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Perdana.

Mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak serta mata dan kini berada dalam koma.

Siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Berita Harian X