Ahad, 12 Julai 2015 | 4:03pm

JPJ Terengganu sasar Operasi Motosikal kurangkan kemalangan

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu melancarkan Operasi Motosikal bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal di negeri ini sepanjang sambutan Aidilfitri.

Pengarah, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata operasi itu memberi keutamaan kepada penunggang dan pembonceng motosikal yang menjadi penyumbang terbesar kepada statistik kemalangan jalan raya di negeri itu.

Dalam operasi musim perayaan ini, JPJ memberi tumpuan di lokasi yang dikesan kerap berlaku kemalangan dengan melaksanakan strategi penguatkuasaan secara fizikal bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penunggang motosikal ketika di jalan raya.

"Operasi itu yang bermula pada Jumaat lalu dijadualkan tamat 25 Julai depan. Ia adalah satu usaha JPJ untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan kumpulan sasaran ini sepanjang sambutan perayaan.

"Kita berharap operasi ini akan memberi hasil positif selaras dengan objektif pelancarannya yang mahukan kadar kemalangan dan kematian kurang berbanding tahun lalu," katanya ketika ditemui di lokasi Operasi Motosikal, di sini.

Selepas dua hari, sebanyak 102 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dijalankan di daerah Kuala Terengganu, Besut dan Kemaman.

"Antara kesalahan yang paling tinggi dikesan membabitkan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, selain lima individu ditahan kerana positif dadah," katanya.

Berita Harian X