Ahad, 19 Julai 2015 | 6:33pm

SPAD perlu adakan mesyuarat khas bincang kes kemalangan meningkat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu mengadakan satu mesyuarat khas dengan kadar segera bagi membincangkan kes kemalangan jalan raya yang semakin meningkat menjelang musim perayaan.

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata mesyuarat itu juga perlu mengkaji semula usaha yang diambil oleh semua pihak setakat ini bagi mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya.

"Selain SPAD, persatuan pemandu teksi dan persatuan pemandu bas serta pihak berkepentingan lain harus berganding bahu bagi mengenal pasti langkah-langkah berkesan mengurangkan kemalangan jalan raya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Lee berkata demikian ketika diminta mengulas 20,257 kes kemalangan yang direkodkan, sejak Op Selamat dilancarkan.

Pada Jumaat lalu, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff mendedahkan sejumlah 20,257 kemalangan dan 155 kematian direkod di seluruh negara dalam tempoh tujuh hari Ops Selamat dilancarkan.

Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal adalah bilangan terbesar yang maut dengan 94 kes manakala kereta sebanyak 35 kes.

Purata jumlah kematian itu lebih tinggi iaitu 22 orang sehari berbanding 13 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Isu kemalangan ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mana beliau meminta semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.

Dalam catatan Facebook beliau semalam, perdana menteri juga mengesa mereka mengutamakan keselamatan diri dan pengguna lain semasa berada di atas jalan raya.

Sehubungan itu, Lee yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan menghargai kehidupan mereka.

Katanya, sikap pemandu menjadi antara punca peningkatan kemalangan jalan raya dan meminta pemandu supaya memberikan fokus yang penuh ketika berada di jalan raya.

"Saya berasa terlalu sedih dan bimbang atas peningkatan yang ketara dalam jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.

"Saya berdoa agar pemandu sentiasa berhati-hati dan memandu dalam kelajuan yang dibenarkan bagi mengelak perkara yang tidak diingini itu. Setiap pengguna jalan raya perlu menjadikan keselamatan sebagai budaya bagi mengelak kemalangan maut," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X