X
Sabtu, 1 Ogos 2015 | 6:40pm
SEORANG lelaki maut apabila jentera pembajak sawah yang dipandu terhumban kedalam parit dan menidih mangsa di Parit Tanjung Piandang. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
SEORANG lelaki maut apabila jentera pembajak sawah yang dipandu terhumban kedalam parit dan menidih mangsa di Parit Tanjung Piandang. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bakal pengantin maut dihempap jentera bajak sawah

PARIT BUNTAR: Seorang pemandu jentera pembajak sawah yang bakal melangsungkan perkahwinan September ini, maut selepas jentera dipandunya terhumban ke parit dan menghempap mangsa di Parit Tanjung Piandang, di sini.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa Abdul Muiz Abd Jalil, 25, berasal dari Sungai Burong, Tanjung Piandang, dipercayai meninggal dunia akibat lemas selepas gagal dikeluarkan dari jentera yang menghempapnya.

Mengikut saksi, ketika kejadian seorang rakan mangsa yang turut memandu jentera pembajak dan berada di belakang mangsa, segera membantu untuk menyelamatkannya namun gagal berikutan mangsa tersepit pada jenteranya.

"Sebuah jengkaut yang berada berhampiran lokasi kejadian, diminta penduduk kampung untuk membantu mengangkat jentera yang menindih mangsa.

"Selepas mangsa dikeluarkan dan diangkat ke tebing, pasukan perubatan yang tiba segera memberikan rawatan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa diserahkan kepada polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian dan menurutnya siasatan awal mendapati jentera dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit berair.

Berita Harian X