Jumaat, 21 Ogos 2015 | 3:46pm
POLIS menunjukkan pisau kerambit.
POLIS menunjukkan pisau kerambit.

Polis cedera, penagih hendak diberkas libas kerambit

KESAN cedera di belakang lengan kiri akibat ditoreh dengan pisau kerambit.
KESAN cedera di belakang lengan kiri akibat ditoreh dengan pisau kerambit.

BAGAN SERAI: Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera di belakang lengan kiri akibat ditoreh dengan pisau kerambit oleh seorang lelaki yang disyaki penagih dadah di Ladang Eng Thye, Kuala Kurau, di sini, jam 3 pagi tadi.

Berikutan kejadian itu mangsa, Mansur Mohamad Ibrahim, 38, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian terpaksa menerima enam jahitan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik, berkata bertindak atas maklumat, mangsa bersama tujuh anggota polis BSJN diketuai Inspektor Hayat Eree melakukan serbuan di sebuah rumah di ladang berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di rumah itu, polis berdepan halangan untuk memasuki rumah berkenaan selepas seorang lelaki yang membuka pintu rumah, segera mengunci pintu dan melarikan diri ke tandas sejurus dimaklumkan kehadiran anggota polis.

"Suspek pertama dipercayai cuba membuang sesuatu ke dalam lubang tandas dan berlaku pergelutan dengan anggota polis dalam usaha menangkapnya.

"Secara tiba-tiba datang seorang lagi suspek kedua dari arah belakang menerpa dan menyerang mangsa yang cuba membantu tangkapan suspek pertama, dengan cara melibaskan sebilah kerambit sehingga menyebabkan kecederaan di lengan kirinya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian ditangkap oleh anggota bertugas dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X